Tentera laut Itali akan membantu flotila bantuan antarabangsa Gaza dengan hanya satu kapal dan bukan dua seperti yang difahamkan sebelum ini, kata kementerian pertahanan pada Khamis, sambil menambah bahawa kapal itu tidak akan mempunyai sebarang tugas pengiring, menurut laporan Reuters.
Kementerian itu dilaporkan berkata frigat yang dihantar pada Rabu beberapa jam selepas konvoi yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla (GSF) disasarkan oleh dron dalam perjalanan ke Gaza akan digantikan dengan kapal lain.
Terdahulu pada Khamis, Menteri Pertahanan Guido Crosetto memberitahu parlimen bahawa frigat “Alpino” akan dikerahkan di kawasan di mana frigat “Fasan” telah dihantar.
Kementerian pertahanan kemudiannya menjelaskan bahawa Alpino akan menggantikan Fasan.
Crosetto, anggota kanan parti Brothers of Italy pimpinan Perdana Menteri Giorgia Meloni, menggesa flotila itu supaya tidak berkeras melanggar sekatan tentera laut Israel ke atas Gaza.
“Mendedahkan nyawa manusia kepada risiko di perairan yang tidak mungkin untuk campur tangan dengan menyelamat tidak masuk akal dan akan melibatkan bahaya yang tidak perlu,” kata Crosetto.

















