Pasukan tentera Israel memasuki kawasan luar bandar Quneitra di selatan Syria pada Rabu, lapor Anadolu memetik media tempatan.
TV Al-Ikhbariya milik kerajaan Syria melaporkan tentera Israel mara ke perkampungan Al-Owainia di utara Quneitra dan menyerbu dua rumah.
Satu lagi unit Israel yang terdiri daripada lapan kenderaan tentera, termasuk sebuah jentolak dan dua kereta kebal, mara ke arah pekan Samadaniyah Timur dan ditempatkan selama beberapa jam di kawasan itu sebelum berundur ke arah bandar Quneitra.
Tiada komen segera daripada tentera Israel mengenai laporan itu.
Menurut laporan Anadolu, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, tentera Israel telah melakukan beberapa serbuan rentas sempadan ke wilayah selatan Syria, termasuk Quneitra, walaupun terdapat gesaan antarabangsa untuk menghentikan pencabulan kedaulatan Syria.
Selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad pada penghujung 2024, Israel meluaskan pendudukan di Dataran Tinggi Golan Syria dengan merampas zon penampan demiliterisasi, satu langkah yang melanggar Perjanjian Pemisahan 1974 dengan Syria.

















