Angka kematian di Vietnam akibat Taufan Bualoi meningkat kepada 19 dengan 21 lagi masih hilang, kata kerajaan pada Selasa, menjadikannya ribut paling dahsyat melanda negara itu tahun ini apabila hujan lebat menyebabkan banjir teruk di Hanoi dan merentasi wilayah utara, menurut laporan Reuters.
Bualoi mendarat pada Isnin di utara tengah Vietnam, membawa ombak laut yang besar, angin kencang dan hujan lebat.
Minggu lalu, taufan itu membunuh sekurang-kurangnya 10 orang di Filipina.
Kerajaan dilaporkan berkata 88 orang turut cedera, lebih 100,000 rumah rosak, kebanyakannya di wilayah Nghe An dan Ha Tinh, dan lebih 10,000 hektar padi dan tanaman ditenggelami air.
Hujan di beberapa bahagian di Vietnam melebihi 300 milimeter sejak 24 jam lalu, menurut laporan Reuters memetik agensi cuaca negara sambil memberi amaran tentang risiko tanah runtuh dan banjir kilat.
Di ibu negara Hanoi, jalan-jalan dilaporkan dinaiki air apabila hujan lebat yang berterusan disertai dengan guruh dan kilat, melumpuhkan lalu lintas di banyak kawasan pusat bandar.
Sehingga Selasa, beberapa kampung di utara tengah Vietnam masih dinaiki air tanpa akses trafik atau bekalan elektrik, lapor Reuters memetik media kerajaan.
Air banjir naik sehingga hampir ke paras bumbung rumah di beberapa kampung di wilayah Nghe An, menurut rakaman di penyiar negeri VTV, Reuters melaporkan.
“Ini rumah saya, bumbung di atas telah diterbangkan angin taufan dan kini sedalam setengah meter dalam air banjir,” kata penduduk Nghe An, Ngo Thi Loan, 56, kepada Reuters.
“Semua barang saya telah rosak, semuanya hilang,” kata Loan.
Dengan pantai panjang menghadap Laut China Selatan, Vietnam terdedah kepada taufan yang sering juga membawa hujan lebat menyebabkan banjir teruk.

















