Sudan pada Selasa mengisytiharkan dua pegawai kanan Program Makanan Sedunia (WFP) PBB sebagai personae non gratae dan mengarahkan mereka meninggalkan negara itu dalam tempoh 72 jam, berita Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi SUNA.
Kementerian Luar Negeri memanggil Pengarah Negara WFP, Laurent Bukera, untuk memaklumkan kepadanya bahawa dia dan Ketua Operasi WFP, Samantha Chattaraj, diisytiharkan tidak dialu-alukan, lapor SUNA.
Kementerian itu berkata kerajaan kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan organisasi global “mengikut peraturan dan undang-undang yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk menghormati kedaulatan negara,” lapornya.
Walaupun tiada sebab diberikan untuk pengusiran itu, kementerian itu berkata keputusan itu tidak akan menjejaskan kerjasama berterusan dengan WFP dalam program kemanusiaan dan pembangunan di Sudan, lapornya.
WFP telah beroperasi di Sudan selama beberapa dekad dan merupakan organisasi kemanusiaan terkemuka yang menyediakan bantuan makanan kepada berjuta-juta orang yang terjejas oleh konflik dan bencana di seluruh negara.

















