Sekurang-kurangnya tujuh orang maut di wilayah Leningrad di barat laut Rusia selepas mereka meminum arak haram, kata kementerian dalam negeri pada Jumaat, dan tiga lagi dirawat kerana keracunan, lapor Reuters.
Seorang penduduk pekan Gostitsy, dekat sempadan Estonia, ditahan kerana disyaki menjual alkohol itu kepada rakan sekampung, jurucakap kementerian dalam negeri dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.
Saluran Telegram 112 dilaporkan meletakkan angka kematian pada 12 dan berkata isteri pembuat arak haram itu telah dimasukkan ke hospital dalam keadaan serius selepas mencuba produk suaminya.
Rusia mengetatkan kawalan ke atas pengeluaran dan penjualan alkohol selepas 77 orang di Siberia maut selepas meminum minuman beralkohol murah pada 2016, tetapi penggunaan alkohol buatan sendiri masih menjadi masalah serius.
Pada Jun 2023, sekurang-kurangnya 30 orang maut di beberapa wilayah di barat Rusia selepas meminum cider tercemar.
Pakar industri dilaporkan berkata kenaikan harga runcit alkohol dan sekatan serantau yang semakin meningkat terhadap penjualannya telah menyaksikan sesetengah orang beralih kepada minuman buatan sendiri yang kadangkala membawa maut.

















