Sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh di Filipina selepas dua gempa bumi kuat melanda wilayah selatan negara itu selang beberapa jam, manakala orang yang tinggal di kawasan pantai sebelum ini diarah berpindah selepas amaran tsunami, yang kini dibatalkan, berita Anadolu melaporkan.
Gempa bumi kuat kedua dengan magnitud 6.7 melanda Filipina di kawasan selatan Mindanao hanya beberapa jam selepas gempa bumi 7.4 magnitud melanda lokasi sama.
Paras laut di Bislig City dan Tandag City di Surigao del Sur tidak merekodkan sebarang gelombang tsunami yang ketara.
“Dengan ini, sebarang kesan akibat amaran tsunami sebahagian besarnya telah berlalu,” dan oleh itu semua amaran tsunami yang dikeluarkan untuk kejadian ini kini dibatalkan, Anadolu memetik Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina (Phivolcs).
Gempa bumi berukuran 6.7 magnitud itu berlaku pada 1112GMT, 23 kilometer (14.2 batu) tenggara bandar Santiago, pada kedalaman 61.2 kilometer (38 batu), menurut US Geological Survey (USGS).
Sementara Phivolcs dilaporkan berkata, gempa bumi itu berlaku pada 7.12 malam waktu tempatan dengan magnitud 6.8, pada kedalaman 37 kilometer (22.9 batu).
Di Mati City, pusat bandar terbesar dekat pusat gempa, seorang terbunuh apabila tembok runtuh, kata pegawai bencana bandar Charlemagne Bagasol, menurut Inquirer.
Tiga orang maut akibat serangan jantung.
Seorang lagi remuk akibat serpihan yang jatuh di Davao City.

















