Sekurang-kurangnya 42 orang terbunuh apabila sebuah bas terhempas di wilayah Limpopo utara Afrika Selatan, lapor berita Anadolu memetik media tempatan pada Isnin.
Kematian membabitkan 18 wanita, 17 lelaki dan tujuh kanak-kanak, menurut penyiar tempatan SABC, memetik Kementerian Pengangkutan.
Lebih 30 penumpang dimasukkan ke hospital selepas bas yang membawa warga Malawi dan Zimbabwe itu hilang kawalan, terguling ke bawah tambak dan mendarat atas bumbungnya pada Ahad.
Usaha menyelamat sedang dijalankan awal Isnin, ketika sesetengah penumpang disyaki masih terperangkap di dalam, manakala jalan masih ditutup.
Berita Al Jazeera melaporkan, kenderaan itu terbabas dari jalan gunung yang curam di lebuh raya N1 dekat pekan Makhado di wilayah Limpopo pada petang Ahad.
Menurutnya, kenderaan itu dalam perjalanan dari Gqeberha di wilayah Eastern Cape Afrika Selatan ke Zimbabwe dan Malawi.
Premier Limpopo Phophi Ramathuba menurut berita Al Jazeera, melawat lokasi nahas sebelum menemui mangsa yang terselamat di hospital.
“Kehilangan begitu banyak nyawa dalam satu kejadian adalah menyakitkan tidak terkata,” dia dilaporkan berkata sambil mengucapkan takziah kepada keluarga di Afrika Selatan, Zimbabwe dan Malawi.

















