Sekurang-kurangnya 14 orang lemas apabila sebuah bot getah yang membawa migran karam di luar pantai wilayah Mugla, barat Turki pada Jumaat, menurut Reuters memetik pejabat gabenor tempatan.
Dalam satu kenyataan, Pejabat Gabenor Mugla dilaporkan berkata, seorang lelaki Afghanistan yang terselamat dalam bencana itu dan berenang kembali ke tanah besar telah membangkitkan kecemasan sejurus selepas jam 1 pagi.
Warga Afghanistan itu dilaporkan memberitahu perkhidmatan kecemasan, 18 orang menaiki bot getah itu, tetapi sejurus selepas itu ia ditenggelami air dan karam, kata pejabat gabenor.
Pasukan mencari dan menyelamat menemui mangsa kedua yang berjaya sampai ke Pulau Celebi di luar Bodrum. Mereka juga menemui 14 mayat dari laut.
“Usaha mencari dan menyelamat pendatang haram lain yang dianggap hilang diteruskan dengan empat bot pengawal pantai, satu pasukan menyelam khas pengawal pantai dan satu helikopter,” pejabat gabenor dilaporkan berkata.
Laut Aegean merupakan laluan transit yang kerap bagi beribu-ribu pendatang yang cuba menyeberang dari Afrika Utara dan Timur Tengah ke Eropah, terutama dari Turki yang menempatkan berjuta-juta pelarian dari Syria, Iraq dan Afghanistan.
Bilangan pendatang haram yang ditangkap di Turki memuncak pada tahun 2019 dengan hampir 455,000 orang, terutama dari Afghanistan dan Syria, Reuters memetik Presidensi Pengurusan Migrasi.
Lebih daripada 122,000 pendatang dilaporkan telah ditangkap di Turki sehingga 16 Oktober tahun ini.


















