Beribu-ribu orang turun ke jalan di seluruh Itali pada Rabu untuk membantah serangan Israel ke atas kapal milik Freedom Flotilla Coalition yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, menurut berita Anadolu.
Serbuan dilakukan di perairan antarabangsa itu mencetuskan demonstrasi di Rom, Milan, Naples dan Salerno.
Di Rom, orang ramai berkumpul di Colosseum sebelum berarak ke arah Piramid Cestius dengan sepanduk bertulis “Hentikan genosid”.
Menurut Anadolu, peserta protes mengibarkan bendera Palestin, melaungkan slogan termasuk “Kebebasan untuk Palestin” dan “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas” dan menggesa Perdana Menteri Giorgia Meloni meletak jawatan.
Di Milan, lebih 5,000 orang menyertai perarakan dari Piazzale Lodi ke Dataran Leonardo Da Vinci, menghentikan lalu lintas ketika sesetengah pemandu membunyikan hon sebagai sokongan.
Tentera laut Israel menyerang kapal-kapal konvoi “Thousand Madleens ke Gaza” Gabungan Freedom Flotilla pada awal Rabu di perairan antarabangsa, kira-kira 120 batu nautika (222 kilometer) dari kawasan itu.
Konvoi itu belayar selepas tentera laut Israel menyerang dan merampas lebih 40 bot minggu lalu yang merupakan bahagian daripada Flotila Sumud Global ke Gaza dan menahan lebih 450 aktivis di dalamnya. Kebanyakan mereka telah dihantar pulang.
Israel, sebagai kuasa penjajah, juga sebelum ini telah menyerang kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas kargo mereka dan menghantar pulang aktivis di atas kapal.

















