Pejabat Tetap Senat Madagascar telah mengumumkan Richard Ravalomanana telah disingkirkan daripada jawatannya sebagai presiden Senat, lapor Xinhua.
Institusi itu menjelaskan dalam satu kenyataan pada Ahad, keputusan ini berikutan perundingan mendalam dengan semua senator, memandangkan keadaan semasa negara.
Ia mewajarkan langkah itu dengan menyebut keperluan untuk memelihara “kepentingan tertinggi negara” dan mengukuhkan perpaduan dalam institusi politik.
Para senator kemudiannya melantik Jean Andre Ndremanjary sebagai pemangku presiden Senat, yang akan menguruskan hal ehwal semasa institusi itu sehingga presiden baharu dipilih. Mereka juga menyeru orang ramai supaya menghormati undang-undang dan menegakkan perpaduan negara dalam semangat keamanan dan kestabilan.
Menurut perlembagaan, presiden Senat mengambil alih jawatan presiden sementara Republik Madagascar sekiranya berlaku kekosongan kuasa.

















