Polis Jepun menahan seorang lelaki kerana didakwa menghasilkan imej eksplisit selebriti wanita dengan kecerdasan buatan (AI), berita Anadolu memetik laporan Jiji Press pada Khamis.
Ia merupakan kes pertama tangkapan imej palsu seksual bagi selebriti yang dicipta dengan AI di Jepun.
Hiroya Yokoi, 31, dari bandar timur laut di Akita, mengaku mencipta imej itu untuk keuntungan kewangan bagi menampung perbelanjaan sara hidup dan membayar balik pinjaman pelajar.
Pihak berkuasa percaya Yokoi telah menghasilkan hampir 20,000 imej 262 wanita, termasuk pelakon, personaliti televisyen dan idola, dan memperoleh 1.2 juta yen ($8,000) dengan menjualnya antara Oktober lalu dan September.
Dia ditahan kerana disyaki memaparkan imej palsu tiga pelakon dalam talian dalam tiga kes dari 7 Januari hingga 2 Jun.
Terdahulu, polis berkata mereka menahan tiga lelaki dan seorang wanita pada April kerana didakwa menjual imej lucah wanita yang dihasilkan oleh AI, menandakan penahanan pertama di Jepun untuk jenayah itu.

















