Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) berkata pada Ahad, salah satu rondaannya diserang Israel, tetapi tiada kakitangan yang cedera dan tiada peralatan yang rosak, lapor Xinhua.
“Sekitar jam 5:45 petang (1545 GMT) Ahad, sebuah dron Israel menghampiri rondaan UNIFIL dekat kampung Kafr Kila dan menjatuhkan bom,” UNIFIL dilaporkan berkata dalam satu kenyataan.
“Beberapa ketika kemudian, sebuah kereta kebal Israel melepaskan tembakan ke arah pasukan pengaman. Nasib baik, tiada kecederaan atau kerosakan berlaku pada kakitangan atau peralatan UNIFIL.”
Kenyataan itu menyatakan kejadian itu susulan pertemuan sebelum ini di lokasi sama, apabila sebuah dron Israel terbang secara agresif di atas rondaan, mendorong UNIFIL untuk mengambil langkah pertahanan. UNIFIL mengutuk tindakan itu sebagai pelanggaran Resolusi Majlis Keselamatan PBB 1701 dan kedaulatan Lubnan, dengan mengatakan ia membahayakan pasukan pengaman yang menjalankan mandat Majlis Keselamatan di selatan Lubnan.
Menurut Xinhua, tiada respons segera daripada pihak Israel.
Kedudukan UNIFIL telah disasarkan beberapa kali sejak pertempuran rentas sempadan meletus selepas perang Gaza bermula pada Oktober 2023, menurut Xinhua.
Walaupun terdapat gencatan senjata antara Israel dan Hizbullah, Israel terus melancarkan serangan berkala di Lubnan, dengan alasan ancaman Hizbullah, dan mengekalkan posisi (di) sempadan melepasi tarikh akhir pengunduran pada 18 Februari.

















