Parti pro-Eropah Presiden Moldova Maia Sandu memenangi majoriti baharu dalam pilihan raya parlimen, menurut keputusan awal diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat (CEC) pada Isnin, lapor Anadolu.
Parti Tindakan dan Solidariti (PAS) pimpinan Sandu, yang memegang majoriti parlimen sejak 2021, memenangi 50% undi dengan 99% daripada 1.6 juta undi dikira dan peratusan keluar mengundi melebihi 52%.
Dalam pada itu, Blok Patriotik pro-Rusia, diketuai oleh bekas Presiden Igor Dodon, menerima 24% undian.
Antara pesaing parti pemerintah, Dodon telah menyeru pembangkang untuk berhimpun di hadapan parlimen pada Isnin dan mendakwa Sandu merancang untuk membatalkan undi tanpa memberikan sebarang bukti.
Blok Alternatif, diketuai oleh Datuk Bandar Chisinau, Ion Ceban, menerima 7% undian.
PAS kini dijangka memperoleh sekitar 55 kerusi dalam parlimen 101 kerusi itu.
Menurut Anadolu, dalam ucapan kepada Parlimen Eropah awal bulan ini, Sandu mentakrifkan pilihan raya itu sebagai “paling penting” sejak negara itu merdeka daripada Kesatuan Soviet pada 1991.
Undian itu dijangka menentukan nasib laluan geopolitik Moldova.
Sandu dan PAS telah membawa Moldova lebih dekat ke Brussels, mendapatkan status calon EU, bersama Ukraine, pada 2022, dan membuka rundingan penyertaan pada Jun 2024. Satu referendum yang diadakan pada Oktober tahun yang sama telah memaktubkan keahlian EU dalam perlembagaan negara itu.

















