Wartawan Argentina, Iara Modarelli, 32, nekad bersama yang lain berlayar ke Gaza bagi memanusiakan apa yang tidak berperikemanusiaan di wilayah terkepung itu.
Dia berani menempuh lautan dan cabaran demi solidariti dengan rakyat Palestin, membuktikannya dengan tindakan, bukan hanya pada kata-kata.
“Saya tidak nampak pilihan lain selain melakukan apa yang kerajaan kita enggan lakukan, iaitu berdiri dalam solidariti dengan rakyat Palestin, bukan dengan kata-kata, tetapi dalam tindakan.
“Kita tidak sepatutnya berada dalam misi ini. Orang ramai di seluruh dunia tidak perlu bergegas untuk melakukan kerja yang telah gagal atau enggan dilakukan oleh kerajaan mereka.
“Saya belayar ke Gaza untuk memanusiakan apa yang telah tidak berperikemanusiaan, untuk menyuarakan kebenaran dalam masa disinformasi dan bertindak menentang kesenyapan.
“Kita berhutang kepada rakyat Palestin, bukan sahaja untuk penentangan mereka yang berterusan, tetapi untuk menyedarkan dunia kepada realiti empayar, yang dikekalkan melalui jentera penjajahan peneroka Zionis,” dia dipetik berkata, seperti disiarkan dalam kemaskini Sumud Flotilla oleh Al Jazeera.
Sukarelawan itu dilaporkan berkata, dia menyertai misi kemanusiaan itu kerana tanggungjawab moral kepada rakyat Palestin, setelah melihat mereka dari jauh menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.
“Selama bertahun-tahun, saya telah mendokumentasikan dan menyaksikan genosid berlaku di Gaza dari jauh dengan perasaan tidak berdaya yang mendalam dan semakin meningkat.
“Sebagai seorang wartawan dan manusia, saya tidak dapat lagi melihat dari jauh ketika rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai,” dia dipetik berkata.
Menurutnya, beberapa bulan lalu, dia menyertai March to Gaza, satu tindakan perpaduan global yang akhirnya disabotaj oleh Israel.
Katanya, perjuangan itu bukan sahaja mengenai Palestin, bahkan membabitkan masa depan bersama umat manusia.
“Saya seorang warga Argentina, seorang kemanusiaan, seorang wartawan, dan saya percaya perjuangan ini bukan sahaja mengenai Palestin. Ia mengenai masa depan umat manusia kolektif kita.”
Flotila bantuan itu pada Ahad dilaporkan mencapai titik utara Marsa Matrouh di pantai Mediterranean Mesir, menurut berita Anadolu.
Armada itu dijangka belayar dalam beberapa jam ke perairan utara bandar Alexandria.
Manakala kapal utama, OHWAYLA & ALL IN, kini dilaporkan berada hanya 366 batu nautika dari Gaza.
Flotila itu berlayar sejak awal bulan ini untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza dan menyampaikan bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke kawasan dilanda perang itu.

















