Lintasan sempadan Rafah antara Gaza dan Mesir akan kekal ditutup sehingga diberitahu kelak, kata Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Sabtu, sambil menambah pembukaan semula akan bergantung kepada penyerahan mayat tebusan yang telah mati oleh Hamas, lapor Reuters.
Kenyataan Netanyahu dibuat sejurus selepas kedutaan Palestin di Mesir mengumumkan lintasan Rafah, pintu utama bagi penduduk Gaza untuk keluar dan masuk kawasan itu, akan dibuka semula pada Isnin untuk masuk ke Gaza.
Menurut Reuters, Hamas, dalam satu kenyataan lewat Sabtu, berkata keputusan Netanyahu “merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap perjanjian gencatan senjata dan penolakan komitmen yang dibuatnya kepada pengantara dan pihak penjamin”.
Ia juga berkata penutupan berterusan lintasan Rafah akan menghalang kemasukan peralatan diperlukan untuk mencari dan mengesan lebih banyak mayat tebusan di bawah runtuhan, dan sekali gus akan melambatkan penemuan dan penyerahan mayat.
Terdahulu Hamas berkata ia akan menyerahkan dua lagi mayat tebusan pada 10 malam waktu tempatan (1900 GMT), menurut Reuters


















