Sebuah bangunan di Delta Nil, Mesir sebahagiannya runtuh berikutan kebakaran yang berlaku pada waktu fajar Jumaat, membunuh 11 orang dan mencederakan 33 yang lain, lapor AP memetik pegawai.
Litar pintas elektrik menyebabkan dandang meletup dan kebakaran berlaku di tingkat dua perniagaan pewarna pakaian di bandar Mahalla, kira-kira 103 kilometer (64 batu) di utara Kaherah.
Terletak di wilayah Gharbia, Mahalla terkenal dengan pembuatan tekstil.
Itu menyebabkan sebahagian daripada bangunan itu runtuh, lapor AP memetik pejabat media gabenor dalam satu kenyataan.
Penemuan awal pegawai melaporkan lapan kematian dan tiga orang terperangkap di bawah runtuhan awal Jumaat. Bagaimanapun, tidak jelas sama ada jumlah kematian terkini termasuk mereka yang dilaporkan sebelum ini terperangkap.
Gabenor Ashraf el-Gendy, yang melawat tapak itu, dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, kru tindak balas kecemasan mengawal sepenuhnya kebakaran dan mengalihkan bahagian bangunan yang musnah.
Kementerian buruh dalam satu kenyataan dilaporkan berkata, beberapa anggota pertahanan awam maut ketika memadamkan kebakaran.
Menurut pejabat gabenor dan kementerian kesihatan, 26 orang yang cedera dibenarkan pulang selepas keadaan kesihatan mereka bertambah baik, manakala tujuh lagi kekal di hospital dengan dua orang dalam rawatan rapi.
Pada Julai, kebakaran melanda bangunan syarikat telekomunikasi utama di pusat bandar Kaherah, mencederakan sekurang-kurangnya 14 orang dan menyebabkan perkhidmatan internet dan telefon mudah alih terputus sementara.

















