Sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh dan 18 cedera selepas sebuah kapal tangki minyak terbakar awal Rabu ketika ia dibaiki di wilayah Kepulauan Riau, Indonesia, lapor Reuters memetik polis tempatan.
Kebakaran berlaku pada kapal itu, MT Federal II, kira-kira jam 4 pagi pada Rabu (2100 GMT Selasa) di limbungan kapal di bandar Batam, ketua polis tempatan Zaenal Arifin dilaporkan berkata.
Batam terletak kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) dari Singapura melalui laut.
MT Federal II sedang berlabuh dan sedang menjalani pembaikan apabila ia terbakar, kata Zaenal.
Menurutnya, punca masih dalam siasatan dan kapal itu tidak membawa minyak.
Sehingga petang Rabu, 10 orang maut dan 18 yang lain sedang menerima rawatan di hospital, kata Zaenal.
Katanya, semua mangsa sedang berusaha membaiki kapal berkenaan.
“Ada antara mereka cedera parah,” dia dipetik berkata.
Katanya, tidak jelas siapa pemilik kapal itu.