Itali semakin hampir untuk mengiktiraf negara Palestin berikutan perjanjian gencatan senjata Gaza antara Israel dan Hamas, Perdana Menteri Giorgia Meloni dilaporkan berkata pada Isnin.
“Jelas sekali, jika rancangan itu dilaksanakan, pengiktirafan Itali terhadap Palestin sudah tentu akan lebih dekat,” kata Meloni kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh di Mesir, lapor Anadolu memetik agensi berita ANSA.
Beliau menegaskan Itali berhasrat untuk menyokong penubuhan negara Palestin sambil meneruskan sokongan kemanusiaannya untuk penduduk Gaza.
Meloni menyatakan Itali bersedia membantu dalam menstabilkan Gaza, termasuk mengerahkan pasukan Carabinieri jika diperlukan oleh resolusi PBB.
“Itali sudah bersedia untuk melakukan bahagiannya. Ia satu peluang yang hebat. Ia adalah hari bersejarah. Saya bangga bahawa Itali berada di sini,” katanya seperti dilaporkan.
Meloni menyifatkan perjanjian gencatan senjata itu sebagai “satu kejayaan besar” untuk Presiden AS Donald Trump, sambil menambah: “Kami berharap dia lebih (berjaya), bermula dengan Ukraine.”
Minggu lalu, Trump mengumumkan Israel dan kumpulan Palestin Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama rancangan yang dibentangkannya pada 29 September untuk membawa gencatan senjata ke Gaza, membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari seluruh Jalur Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu berkuat kuasa pada Jumaat.
Fasa dua rancangan itu memerlukan penubuhan mekanisme pemerintahan baharu di Gaza, pembentukan pasukan multinasional dan pelucutan senjata Hamas.
Awal Isnin, pembebasan rakyat Palestin yang dipenjarakan di penjara Israel bermula selepas Hamas membebaskan semua 20 tawanan Israel yang masih hidup yang ditahan di Jalur Gaza, lapor Anadolu.

















