Anggota penyelamat Indonesia menyelesaikan pencarian pada Selasa untuk mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan sebuah pondok pesantren yang runtuh di wilayah Jawa Timur, selepas mendapatkan lebih 60 mayat, Reuters memetik pihak berkuasa bencana.
Mayat semua 61 orang di dalam bangunan itu telah ditemui, serta tujuh bahagian badan yang cuba dikenal pasti oleh polis, Reuters memetik agensi mitigasi bencana dalam satu kenyataan, menghentikan usaha mencari dalam bencana yang disifatkannya sebagai paling maut pada tahun ini.
“Operasi akibat struktur runtuh sekolah Al Khoziny … ditutup secara rasmi,” kata Mohammad Syafii, ketua agensi mencari dan menyelamat, selepas pihak berkuasa membersihkan serpihan, seperti dilaporkan Reuters.
Anggota badan yang terputus adalah antara bahagian dikenal pasti, kata Budi Irawan, timbalan ketua agensi itu.
Pasukan penyelamat telah menggunakan jengkaut dan kren untuk mengangkat ketulan konkrit yang besar. Menggali terowong, mereka menjerit memanggil nama mangsa yang dianggap masih hidup.
Angka itu menurunkan angka dilaporkan Reuters sebelum ini yang menyebutkan Mohammad Syafii berkata lebih banyak mayat dan bahagian badan ditemui, menjadikan jumlah kematian disahkan kepada 65 orang.
Perbezaan turun naik angka dalam situasi kecemasan seperti itu adalah perkara biasa.
Struktur bangunan di pondok pesantren Al Khoziny di Sidoarjo, Jawa Timur, Indonesia jatuh menimpa pelajar, kebanyakannya lelaki berumur antara 12 dan 19 tahun, saat solat Asar pada Isnin, 29 September lalu.
Al Khoziny adalah salah satu daripada lebih 42,000 sekolah seumpama itu di seluruh negara, dikenali sebagai pesantren, hanya 50 daripadanya mempunyai permit bangunan, Reuters memetik kementerian kerja raya.

















