Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda wilayah Nusa Tenggara Timur, Indonesia awal Isnin, tanpa potensi tsunami, berita Xinhua memetik laporan Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik negara itu (BMKG).
Gempa bumi itu berlaku pada jam 00:04:28 pagi waktu Jakarta, dengan pusat gempa terletak 82 km barat laut Kabupaten Timor Tengah Utara, pada kedalaman 75 km, BMKG dilaporkan sebagai berkata di laman webnya.
Koordinat pusat gempa direkodkan pada 9.06 darjah latitud selatan dan 123.97 darjah longitud timur.
“Gegaran itu dirasai oleh penduduk di sini tetapi tidak mencetuskan panik. Setakat ini, tiada laporan kerosakan atau korban jiwa. Kami terus memantau potensi risiko,” Gasper Losa Manisa, ketua unit kecemasan di Agensi Pengurusan Bencana Nusa Tenggara Timur dilaporkan berkata.

















