Jawatankuasa Antarabangsa bagi Memecahkan Pengepungan ke atas Gaza melancarkan gelombang baharu bot pada Sabtu dalam usaha untuk mencabar sekatan Israel ke atas kawasan Palestin itu, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan, jawatankuasa itu dilaporkan berkata, 10 kapal awam berlayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Sicily, Catania, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.
Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan AS.
“Langkah ini dilakukan ketika perang Israel ke Gaza menghampiri tahun kedua, ditandai dengan pengeboman berterusan, taktik kelaparan, pembunuhan kanak-kanak dan orang awam yang disengajakan, serta serangan berulang ke atas wartawan, kru perubatan, hospital, dan pemindahan besar-besaran keluarga,” kata jawatankuasa itu.
Ia menuduh kuasa dunia “berdiam diri sambil terus mempersenjatai Israel dan melindunginya daripada akauntabiliti”.
Menurut penganjur, flotila ini meneruskan siri misi maritim yang panjang, termasuk Madleen, Handala, dan berpuluh-puluh bot lain yang dilancarkan oleh Freedom Flotilla Coalition sejak 15 tahun lalu, serta kapal dari Global Sumud Flotilla, yang kebanyakannya telah dipintas atau diserang oleh tentera Israel di perairan antarabangsa.
“Kempen global ini tidak akan berhenti sehingga ia mencapai matlamat kemanusiaan yang mulia,” pengerusi jawatankuasa itu, Zaher Birawi dilaporkan berkata.
Dia menegaskan, kapal-kapal itu akan terus belayar ke arah Gaza “tidak kira cabaran dan walaupun terdapat ancaman histeria Israel terhadap aktivis dan penyokong kebebasan di seluruh dunia”.
Israel, sebagai kuasa penjajah, mempunyai rekod memintas kapal yang menuju ke Gaza, merampas kapal dan mengusir aktivis. Pengkritik menggambarkan tindakan terbabit sebagai lanun.
Penyiasat PBB baru-baru ini membuat kesimpulan bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza, di mana hampir 66,000 orang telah terbunuh sejak Oktober 2023.

















