Flotila Sumud Global berkata pada Isnin kapalnya berada 715 batu nautika dari Gaza ketika mereka bertumpu di perairan antarabangsa menjelang percubaan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas enklaf itu, menurut laporan Anadolu.
Dalam satu kenyataan, gabungan itu dilaporkan berkata, armada Greek dijangka turut serta “dalam beberapa hari akan datang” sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan.
“Kapal-kapal Flotila Sumud Global kini akan datang bersama-sama dengan armada Greek yang akan bergabung tidak lama lagi, ketika kami menuju ke minggu-minggu terakhir misi kemanusiaan kami untuk sampai ke Gaza dan memecahkan sekatan haram Israel,” katanya seperti dilaporkan.
Video dikeluarkan oleh gabungan itu menunjukkan kapal Sirius dengan cop tarikh 22 September, menyatakan ia “lima hari dari zon berisiko tinggi” dan “tujuh hari dari Gaza”.
Penganjur dilaporkan berkata, lebih 40 kapal sedang berkumpul di perairan antarabangsa untuk misi itu.
Baru-baru ini, berpuluh-puluh kapal telah belayar dari pelabuhan Afrika Utara dan Eropah menuju ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan untuk memecahkan kepungan Israel.
Misi itu adalah usaha terbesar seumpamanya yang bertujuan untuk sampai ke Gaza, di mana 2.4 juta rakyat Palestin tinggal di bawah sekatan Israel yang telah berlangsung selama 18 tahun.
Israel sebelum ini telah memintas kapal-kapal yang menuju ke Gaza, merampas kapal-kapal itu dan mengusir mereka yang berada di dalamnya.

















