Flotila bantuan ke Gaza kini berada 463 batu nautika dari kawasan yang disekat Israel, kata penganjur pada Sabtu, menurut laporan Anadolu.
Flotila Sumud Global dilaporkan berkata kapal-kapalnya telah meneruskan perjalanan mereka selepas berhenti sebentar untuk menangani isu mekanikal, dengan menyatakan flotila itu dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.
“Dalam dua hari, flotilla akan memasuki zon berisiko tinggi, di mana kewaspadaan dan perpaduan global amat diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan di X, dilaporkan Anadolu.
Jawatankuasa Antarabangsa bagi Memecahkan Pengepungan ke atas Gaza dilaporkan berkata awal Sabtu bahawa satu lagi flotila (armada) 10 kapal awam berlayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Sicily, Catania, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.
Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat (AS).
Flotila Sumud Global, terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini untuk memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan, ke Jalur Gaza.
Sejak 2 Mac, Israel telah menutup sepenuhnya lintasan Gaza, menyekat konvoi makanan dan bantuan serta memburukkan keadaan kebuluran di kawasan terbabit. Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara sporadis, dan banyak yang dirompak oleh kumpulan bersenjata yang pihak berkuasa Gaza menuduh Israel melindungi.
Israel, sebagai kuasa penjajah, mempunyai rekod memintas kapal yang menuju ke Gaza, merampas kapal dan mengusir aktivis. Pengkritik menggambarkan tindakan terbabit sebagai kegiatan lanun.

















