Kesatuan Eropah (EU) pada Jumaat mengalu-alukan perjanjian mengenai fasa pertama pelan gencatan senjata untuk Jalur Gaza dan menggesa semua pihak untuk “melaksanakan sepenuhnya perjanjian itu tanpa berlengah-lengah”, lapor Anadolu.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan bagi pihak ketua dasar luar EU Kaja Kallas, ia berkata pelan itu, yang dikemukakan oleh Presiden AS Donald Trump, bertujuan untuk mendapatkan gencatan senjata serta-merta dan pembebasan semua tebusan.
“Kami ambil perhatian bahawa semua pihak bersetuju, termasuk kerajaan Israel. Kami menyeru semua pihak untuk melaksanakan sepenuhnya perjanjian itu tanpa berlengah-lengah, membenarkan penubuhan gencatan senjata yang berkekalan, pembebasan tebusan, dan akses tanpa halangan dan pengedaran bantuan kemanusiaan yang berterusan secara berskala ke dalam dan di seluruh Gaza,” katanya.
EU memuji usaha diplomatik yang diketuai oleh AS dan disokong oleh Mesir, Jordan, Arab Saudi, Qatar, Türkiye dan Emiriah Arab Bersatu, menyifatkan perjanjian itu sebagai “peluang sebenar untuk menamatkan perang dahsyat dan penderitaan manusia.”
Ia menggariskan bahawa perjanjian itu boleh membuka jalan kepada “laluan politik yang boleh dipercayai ke arah keamanan dan keselamatan berkekalan, berdasarkan penyelesaian dua negara.”
Sambil mengesahkan kesediaannya untuk menyokong pelaksanaan pelan itu, EU berkata ia akan terus membantu penyampaian bantuan kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan dengan penyelarasan dengan agensi PBB dan NGO antarabangsa.

















