Beribu-ribu orang menyertai rali di ibu negara Austria, Vienna pada Sabtu sebagai solidariti dengan rakyat Palestin, mengkritik kerajaan dan Kesatuan Eropah (EU) atas dasar mereka terhadap Israel, yang melakukan genosid di Gaza, menurut berita Anadolu.
Selepas berhimpun di Dataran Christian Broda Platz, peserta protes menggesa kerajaan Austria untuk meneruskan dasar selaras dengan keamanan dan berkecuali.
Dengan membawa bendera Austria dan Palestin, orang ramai melaungkan slogan termasuk “kebebasan, keamanan” dan “kebebasan untuk Palestin”.
Beberapa penunjuk perasaan juga memegang papan tanda, yang berbunyi: “Dari sungai ke laut, Palestin akan bebas.”
Peserta protes menekankan sokongan Austria terhadap Inisiatif Perisai Langit Eropah bercanggah dengan prinsip berkecuali, menyeru kerajaan untuk mengekalkan sikap berkecuali dan bukannya menyediakan untuk perang.
Bercakap pada perhimpunan itu, seorang ahli Parlimen Eropah (MEP) Slovak, Lubos Blaha, mengkritik penglibatan EU dalam perlumbaan senjata.
Dia menyatakan, blok itu menutup mata terhadap genosid di Gaza sambil mengenakan sekatan ke atas Rusia berhubung perang di Ukraine.
“Ini adalah jenayah perang. (Perdana Menteri Israel) Benjamin Netanyahu adalah penjenayah perang,” kata Blaha.

















