Sebilangan rakyat terbunuh dan cedera sejak fajar Selasa dalam pengeboman oleh pesawat perang Israel di pelbagai bahagian di Jalur Gaza, lapor Agensi Berita & Info Palestin (WAFA).
Wartawan WAFA, memetik sumber perubatan, melaporkan tiga ahli keluarga al-Najjar, termasuk seorang wanita hamil, terbunuh dan yang lain cedera apabila tentera pendudukan Israel mengebom khemah melindungi orang kehilangan tempat tinggal dekat stesen al-Attar di kawasan al-Mawasi, barat Khan Younis, selatan Jalur Gaza.
Menurut sumber yang sama, enam rakyat terbunuh dan yang lain cedera apabila pasukan pendudukan Israel mengebom sebuah rumah di barat Deir al-Balah, tengah Jalur Gaza.
Sekurang-kurangnya enam rakyat cedera apabila tentera pendudukan Israel dilaporkan mengebom sebuah rumah dekat Kompleks Perubatan al-Shifa, barat Kota Gaza.
Sementara itu, WAFA melaporkan, pesawat Israel melancarkan serangan udara berterusan menyasarkan kawasan barat bandar itu.
Pasukan Israel juga dilaporkan melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menunggu bantuan dekat pusat pemeriksaan Netzarim, tengah Jalur Gaza.

















