Seorang wanita yang dipenjarakan di Iran atas tuduhan dia mempunyai kaitan dengan kumpulan politik terlarang meninggal dunia di hospital pada Khamis, 10 hari selepas jatuh sakit dengan sawan, dan kumpulan hak asasi manusia menyalahkan pihak berkuasa kerana gagal memberikan penjagaan tepat pada masanya, menurut laporan Reuters.
Pihak berkuasa di Iran sensitif terhadap tuduhan penganiayaan terhadap tahanan sejak kematian dalam tahanan seorang wanita muda pada 2022 mencetuskan bantahan terbesar di seluruh negara dalam beberapa dekad.
Akhbar kehakiman Mizan dilaporkan berkata, Somayeh Rashidi, 42, mempunyai sejarah sawan sebelum jatuh sakit pada 15 September dan dirawat terlebih dahulu oleh kakitangan perubatan penjara dan kemudian dibawa ke hospital.
Ia dilaporkan berkata dia telah dikunjungi beberapa kali oleh pakar saraf dan pengamal am semasa ditahan.
Somayeh dituduh berhubung dengan kumpulan pembangkang Mujahideen-e-Khalq yang diharamkan, dan menyiarkan video dalam talian mengenai tindakan sabotaj, termasuk membakar pangkalan militia agama Basij dan pintu masuk ke masjid, katanya.
Agensi Berita Aktivis Hak Asasi Manusia HRANA dilaporkan berkata, menurut doktor hospital, faktor utama kemerosotan Somayeh adalah kelewatan dalam memberikan penjagaan kepadanya.
“Pihak berkuasa penjara tidak memandang serius keadaannya walaupun berulang kali melawat pusat kesihatan malah menuduhnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah,” tambah HRANA.
Kumpulan hak asasi manusia, Hengaw berkata, pegawai penjara memukulnya dan menuduhnya “malingering” (berpura-pura sakit), berbanding segera memindahkannya ke hospital selepas kejang.
Reuters tidak dapat menghubungi keluarganya atau mengesahkan keterangan mengenai sejarah perubatannya.

















