Ukraine menghantar dron ke arah Moscow untuk malam ketiga berturut-turut dan menyasarkan beberapa wilayah lain Rusia, mengganggu trafik udara di seluruh negara dan mengancam sebuah kilang perindustrian di selatan Rusia, laporan Reuters memetik pihak berkuasa Rusia pada Rabu.
Unit pertahanan udara Rusia memusnahkan sejumlah 100 dron Ukraine semalaman, termasuk enam di wilayah Moscow dan 13 di wilayah bersempadan, kementerian pertahanan Rusia dilaporkan berkata di aplikasi pesanan Telegram.
Kyiv telah meneruskan serangan dron jarak jauh ke atas Moscow dan wilayah Rusia yang lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dengan mengatakan matlamatnya adalah untuk menyerang aset ketenteraan dan perindustrian, melemahkan ekonomi perang Rusia dan menunjukkan kepada Rusia bahawa konflik itu tidak lagi jauh.
Serangan ke atas Moscow datang dalam beberapa gelombang, datuk bandar ibu kota Rusia, Sergei Sobyanin dilaporkan berkata di Telegram.
Pemantau penerbangan Rusia Rosaviatsiya dilaporkan berkata tiga daripada empat lapangan terbang Moscow, dan beberapa lapangan terbang lain di seluruh negara, ditutup seketika atas sebab keselamatan.
Ukraine juga melancarkan beberapa dron yang menyasarkan zon perindustrian Budyonnovsk di wilayah Stavropol, Rusia, gabenor wilayah itu Vladimir Vladimirov dilaporkan berkata di Telegram.
Menurut Reuters, kementerian pertahanan Rusia berkata unitnya telah menembak jatuh dua dron di wilayah itu, yang terletak di selatan negara itu.
Serangan itu tidak menyebabkan kerosakan “ketara”, dan tiada korban jiwa, Vladimirov dilaporkan berkata di aplikasi pesanan Telegram.
Reuters melaporkan, menurut media Ukraine, termasuk saluran media RBK-Ukraine, Kyiv menyerang loji kimia Stavrolen di zon Budyonnovsk, sebahagian daripada Lukoil Rusia. Menurut media Rusia dan Ukraine, Stavrolen merupakan salah satu pengeluar utama polietilena dan polipropilena Rusia.
Reuters mengatakan tidak dapat mengesahkan secara bebas laporan serangan ke atas Stavrolen. Menurutnya, gabenor Stavropol tidak mendedahkan apa yang diserang di Budyonnovsk.
Rusia biasanya memberikan butiran terhad tentang kesan serangan Ukraine ke atas wilayahnya melainkan orang awam atau infrastruktur awam terjejas, lapor Reuters.
Sepanjang dua malam sebelumnya, unit Rusia memusnahkan 35 dron Ukraine di atas wilayah Moscow, kementerian pertahanan Rusia dilaporkan berkata. Tiada kerosakan dilaporkan.

















