Sebuah bangunan yang sedang dalam pembinaan di sebuah pondok pesantren di Indonesia dilaporkan runtuh menimpa berpuluh-puluh pelajar sedang bersolat pada Isnin.
Kejadian itu mengorbankan sekurang-kurangnya seorang pelajar, mencederakan berpuluh-puluh dan menimbus yang lain dalam runtuhan, menurut laporan AP memetik pegawai.
Polis, tentera dan penyelamat menggali serpihan sepanjang malam dalam usaha mengesan sekurang-kurangnya tiga pelajar lagi dipercayai terperangkap hidup di Pondok Pesantren Al Khoziny di pekan Sidoarjo, Jawa Timur.
Pasukan penyelamat dilaporkan berkata, mereka melihat mayat tambahan, menunjukkan jumlah kematian mungkin meningkat.
Pelajar terbabit sedang menunaikan solat Asar di sebuah bangunan yang sedang dalam pembesaran tanpa kebenaran apabila tiba-tiba ia runtuh menimpa mereka, kata jurucakap polis wilayah Jules Abraham Abast, seperti dilaporkan AP.
Seorang pelajar lelaki maut dan 83 pelajar lain cedera dan dibawa ke dua hospital berdekatan, sebahagian daripada mereka dalam keadaan kritikal, kata pegawai.
Kebanyakan mangsa adalah lelaki, kerana pelajar perempuan bersolat berasingan di bahagian lain bangunan dan berjaya melarikan diri, kata mangsa yang terselamat.
Penduduk, guru dan pentadbir membantu pelajar yang cedera, ramai mengalami kecederaan kepala dan patah tulang.

















