Bangladesh pada Jumaat menggesa India untuk mengenal pasti dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab membunuh tiga warga Bangladesh awal minggu ini selepas mereka secara haram menyeberang ke negeri timur laut India Tripura, lapor berita Anadolu.
Pegawai dan media India dilaporkan berkata lelaki-lelaki terbabit dipukul hingga mati oleh kumpulan pada Rabu kerana disyaki mencuri lembu di daerah Khowai di Tripura, beberapa kilometer dari sempadan Bangladesh.
Kementerian Luar Bangladesh dilaporkan berkata dalam satu kenyataan, ia menggesa kerajaan India untuk menjalankan siasatan “segera, tidak berat sebelah dan telus” terhadap insiden itu dan mengambil langkah untuk mencegah tindakan tidak berperikemanusiaan yang sama.
“Penjenayah mesti dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Mangsa dikenali sebagai Jewel Mia, 32, Pati Mia, 45, dan Sajal Mia, 20, semuanya penduduk pekan Chunarughat di daerah Habiganj timur laut Bangladesh, yang bersempadan dengan selatan Tripura.
Mayat mereka diserahkan kepada pihak berkuasa Bangladesh oleh Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) pada Khamis, menurut Md Jahidul Islam, pegawai yang menjaga balai polis Chunarughat.
“Tiada sejarah penyeludupan lembu atau kes berkaitan sebelum ini terhadap ketiga-tiga mereka,” kata Md Jahidul kepada Anadolu.
Beliau berkata lelaki-lelaki terbabit telah menyeberangi sempadan secara haram, dan polis India telah membuka kes berhubung pembunuhan itu.
Di New Delhi, Kementerian Luar India dilaporkan berkata: “Sekumpulan tiga penjahat dari Bangladesh menyeberangi sempadan antarabangsa dan cuba mencuri lembu dari kampung Bidyabil di wilayah India.”
“Mereka menyerang dan mencederakan penduduk kampung…dan membunuh seorang penduduk kampung,” katanya, sambil menambah bahawa penduduk kampung lain tiba dan menentang penyerang. Pihak berkuasa mendapati “dua penyeludup mati” dan seorang yang ketiga meninggal dunia akibat kecederaannya, menurut kenyataan kementerian seperti dilaporkan Anadolu.
Kenyataan itu berkata: “Insiden ini menggariskan keperluan bagi Bangladesh untuk melakukan langkah-langkah yang perlu untuk menegakkan kesucian sempadan antarabangsa dan menyokong pembinaan pagar di mana diperlukan untuk mencegah jenayah rentas sempadan dan penyeludupan.”

















