Seorang hakim mahkamah jenayah Ecuador mati ditembak pada Khamis di pekan Montecristi, di wilayah barat Manabi, di mana jenayah kekerasan telah meningkat, menurut berita Xinhua memetik laporan media tempatan.
Hakim Marcos Mendoza ditembak mati di luar sekolah ketika menghantar anak-anaknya, menurut saudara-maranya.
Laporan awal menunjukkan seorang penyerang bersenjata menaiki motosikal memintas hakim itu dan melepaskan tembakan.
Pegawai polis mengepung kawasan itu dan mengumpul bukti balistik sebagai sebahagian daripada siasatan.
Hakim itu dikaitkan dengan dakwaan kes pengubahan wang haram yang sedang disiasat oleh Pejabat Peguam Negara, kata laporan itu.
Lebih sedozen orang yang terlibat dalam kes itu sedang didakwa, termasuk Jose Adolfo Macias Villamar, disebut juga “Fito” pengedar dadah utama negara itu dan ketua kumpulan jenayah terancang Los Choneros.
Persatuan Hakim Ecuador mengecam pembunuhan Mendoza dalam satu kenyataan pada Khamis, menggesa siasatan menyeluruh dan langkah segera bagi memastikan keselamatan pegawai kehakiman.
Sekurang-kurangnya 15 hakim atau pendakwa telah dibunuh di Ecuador sejak 2022, menurut Human Rights Watch, lapor Xinhua.

















