Kementerian Kesihatan Gaza berkata pada Rabu ia menerima mayat 45 warga Palestin dari Israel melalui Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), menjadikan jumlah keseluruhan mayat yang dikembalikan sejak Selasa kepada 90, berita Anadolu melaporkan.
Pemindahan itu adalah sebahagian daripada fasa pertama perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas yang berkuat kuasa pada 10 Okt.
Menurut Anadolu, kenyataan kementerian berkata, pasukan perubatan terus mengendalikan mayat mengikut prosedur dan protokol perubatan diluluskan untuk melengkapkan pemeriksaan, dokumentasi dan penyerahan kepada keluarga mereka.
Hamas menyerahkan mayat lapan tebusan Israel sejak dua hari lalu di bawah perjanjian gencatan senjata, selepas membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup pada Isnin sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin.
Minggu lalu, Presiden AS Donald Trump mengumumkan Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan dibentangkannya pada 29 September untuk membawa gencatan senjata ke Gaza, membebaskan semua tawanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin, dan pengunduran tentera Israel secara beransur-ansur dari seluruh Jalur Gaza.
Fasa dua pelan itu memerlukan penubuhan mekanisme pemerintahan baharu di Gaza, tanpa penyertaan Hamas, pembentukan pasukan multinasional, dan pelucutan senjata Hamas.

















