Banjir akibat hujan lebat di tengah dan tenggara Mexico menyebabkan tanah runtuh, rumah dan lebuh raya rosak, dan menyebabkan sekurang-kurangnya 28 orang terkorban, lapor AP memetik pihak berkuasa pada Jumaat.
Mexico mengerahkan 8,700 anggota tentera untuk membantu penduduk.
Salah satu kawasan yang paling teruk terjejas ialah negeri tengah, Hidalgo, di mana 16 kematian telah dilaporkan, menurut Setiausaha Dalam Negeri Guillermo Olivares Reyna.
Sekurang-kurangnya 1,000 rumah, 59 hospital dan klinik, dan 308 sekolah telah mengalami kerosakan di negeri ini kerana tanah runtuh dan sungai melepasi tebing. Sebanyak 17 daripada 84 majlis perbandaran negeri itu terputus bekalan elektrik, katanya.
Di negeri jiran, Puebla, sembilan orang mati dan 13 hilang, menurut Gabenor Alejandro Armenta. Dia meminta bantuan daripada kerajaan persekutuan untuk menyelamatkan 15 orang, termasuk beberapa kanak-kanak, yang terkandas di atas bumbung akibat banjir. Dia menganggarkan kira-kira 80,000 orang terjejas akibat hujan lebat itu dan berkata saluran paip gas pecah akibat tanah runtuh.
Di negeri pantai, Veracruz, dua orang maut, termasuk seorang pegawai polis, kata Gabenor Rocío Nahle. Kira-kira 5,000 rumah telah rosak dan tentera laut memindahkan hampir 900 orang ke tempat perlindungan. Bandar Poza Rica adalah antara yang paling teruk dilanda banjir sungai. Pihak berkuasa memotong elektrik sebagai langkah berjaga-jaga.
Terdahulu, pihak berkuasa di negeri tengah, Queretaro mengesahkan seroang kanak-kanak meninggal dunia selepas terperangkap dalam tanah runtuh.
Hujan lebat itu turut menyebabkan bekalan elektrik terputus menjejaskan lebih 320,000 pengguna dan kerosakan hampir 1,000 kilometer jalan raya di enam negeri, kata pihak berkuasa.

















