Pihak berkuasa Israel mula pada Sabtu memindahkan tahanan Palestin ke dua kemudahan tahanan sebelum pembebasan mereka dirancang bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, berita Anadolu memetik media tempatan.
Penyiar awam Israel KAN dilaporkan berkata, banduan yang ditetapkan untuk dibebaskan ke Jalur Gaza atau dihantar pulang melalui lintasan sempadan Rafah telah dipindahkan ke Penjara Ketziot di kawasan padang pasir di selatan Israel.
Mereka yang dijangka dibebaskan dari Tebing Barat yang diduduki dibawa ke Penjara Ofer, barat Ramallah, menurutnya.
Melalui perjanjian itu, 2,000 tahanan Palestin – termasuk 250 menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 1,700 ditahan di Gaza sejak perang bermula pada Oktober 2023 – akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk 48 tebusan Israel.
Kementerian Kehakiman Israel pada Jumaat menerbitkan nama-nama 250 banduan yang menjalani hukuman seumur hidup.
Pejabat Media Tahanan Palestin, yang bergabung dengan Hamas, menafikan mencapai kata sepakat mengenai senarai banduan yang dimasukkan dalam pertukaran itu.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata Gaza berkuat kuasa Jumaat tengah hari waktu tempatan (0900GMT). Tentera Israel menyelesaikan pengunduran secara beransur-ansur ke garisan kuning pada petang itu, mencetuskan tempoh 72 jam untuk proses pertukaran.
Fasa kedua pelan itu dilaporkan membayangkan mewujudkan mekanisme pemerintahan baharu di Gaza tanpa Hamas, membentuk pasukan keselamatan bersama Palestin dan tentera dari negara Arab dan Islam, dan melucutkan senjata Hamas.

















