Hamas berkata pada Khamis ia telah mencapai persetujuan untuk menamatkan perang di Gaza berikutan perbincangan mengenai cadangan Presiden AS Donald Trump, berkata perjanjian itu termasuk pengunduran Israel dari kawasan itu dan pertukaran tebusan, menurut laporan Reuters.
Hamas menggesa Trump dan negara penjamin untuk memastikan Israel melaksanakan gencatan senjata sepenuhnya, tambahnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, AP melaporkan, Presiden AS Donald Trump pada Rabu berkata, Israel dan Hamas telah bersetuju dengan “fasa pertama” rancangan damainya untuk menghentikan pertempuran dan membebaskan sekurang-kurangnya sesetengah tebusan dan banduan.
“Ini bermakna semua tebusan akan dibebaskan tidak lama lagi, dan Israel akan menarik tentera mereka ke garisan yang dipersetujui sebagai langkah pertama ke arah keamanan yang kuat, tahan lama dan kekal,” tulis Trump di media sosial, menurut AP.
“Semua pihak akan dilayan secara adil!”
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, menurut AP, berkata di media sosial: “Dengan pertolongan Tuhan kami akan membawa mereka semua pulang.”
Menurut laporan AP juga, Hamas berkata secara berasingan bahawa perjanjian itu akan memastikan penarikan tentera Israel serta membolehkan kemasukan bantuan serta pertukaran tebusan dan tahanan.
Hamas merancang untuk membebaskan semua 20 tebusan yang masih hidup hujung minggu ini, kata orang yang mengetahui perkara itu kepada The Associated Press (AP), manakala tentera Israel akan memulakan pengunduran dari majoriti Gaza.

















