Tentera laut Israel menyerang flotila bantuan antarabangsa yang menuju ke Jalur Gaza dikepung dan menahan lebih 450 aktivis di atasnya, lapor Anadolu memetik penganjurnya pada Khamis.
Menurut penjejak rasmi Global Sumud Flotilla, 28 kapal telah diserang dan dirampas oleh tentera Israel, dan 13 lagi dipercayai telah diserang, tetapi ia belum didokumenkan.
Daripada empat kapal yang masih berbaki, dua kapal sokongan berpatah balik, manakala kapal Marinette terus belayar ke arah Gaza tetapi masih jauh selepas tiba lewat akibat kerosakan teknikal, kata Jawatankuasa Antarabangsa bagi Memecah Pengepungan ke atas Gaza (ICBSG).
Satu kenyataan oleh Global Sumud Flotilla dilaporkan berkata, aktivis di atas kapal itu telah diambil secara paksa dari kapal mereka oleh tentera Israel, menggambarkan penahanan mereka sebagai “penculikan yang menyalahi undang-undang”.
Ia mengesahkan lebih 450 aktivis dari 47 negara telah dipindahkan ke Pelabuhan Ashdod di selatan Israel.
Aktivis di atas kapal yang diserang oleh Israel terdiri daripada pelbagai bangsa, termasuk orang Sepanyol, Itali, Brazil, Turki, Yunani, Amerika, Jerman, Sweden, British, Perancis, dan ramai lagi.


















