Tentera laut Itali akan berhenti mengikuti flotila antarabangsa yang cuba menghantar bantuan ke Gaza sebaik sahaja ia sampai dalam jarak 150 batu nautika (278 km) dari pantai, lapor Reuters memetik kementerian pertahanan Itali pada Selasa.
Flotila Sumud Global, yang terdiri daripada lebih 40 bot awam yang membawa ahli parlimen, peguam dan aktivis termasuk aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, bertujuan untuk memecahkan sekatan Israel ke atas kawasan Palestin itu.
Sebaik konvoi mencapai had 150 batu nautika, kapal frigat Itali yang mengiringinya akan berhenti, “seperti yang dimaklumkan beberapa kali dalam beberapa hari kebelakangan ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Kapal itu akan mengeluarkan dua amaran kepada aktivis, dengan amaran kedua dan terakhir diramalkan pada kira-kira 00:00 GMT, apabila flotilla dijangka sampai dalam jarak yang dinyatakan, tambah kenyataan itu.
Terdahulu pada Selasa, jurucakap Itali untuk flotila, Maria Elena Delia, dilaporkan berkata aktivis telah dimaklumkan mengenai rancangan kerajaan untuk meminta kapal tentera laut itu berhenti dan berpatah balik untuk mengelakkan “insiden diplomatik” dengan Israel.
Dia dilaporkan berkata, flotila itu tidak berniat untuk mengendahkan amaran Itali untuk tidak mendekati pantai.

















