Dua rakyat Palestin maut akibat tembakan tentera Israel di pekan Tamoun, selatan bandar Tubas di Tebing Barat, lapor Xinhua memetik Kementerian Kesihatan berpangkalan di Ramallah pada Khamis.
“Pihak Berkuasa Am bagi Hal Ehwal Awam memaklumkan kami mengenai pembunuhan Mohammed Suleiman, 29, dan Alaa Bani Ouda, 20, oleh tembakan tentera Israel di pekan Tamoun, Tubas,” kementerian itu dilaporkan berkata dalam kenyataan akhbar.
Menurutnya, tentera Israel menahan mayat mereka.
Sumber keselamatan Palestin memberitahu Xinhua, tentera Israel mengepung sebuah rumah di pekan itu dan melepaskan tiga grenad raifal Energa dan dron bahan letupan ke arah rumah yang dikepung, manakala pertempuran dan tembakan sengit kedengaran di kawasan itu.
Sementara itu, Gabenor Tubas, Ahmed al-Asaad memberitahu Xinhua, pihak Israel telah dimaklumkan mengenai pembunuhan dua pemuda itu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan berkata dalam satu kenyataan pada Khamis, semasa operasi bersama di kawasan itu, pasukan itu “menghapuskan sel pengganas yang merancang untuk melakukan serangan pengganas”.
“Sebagai sebahagian daripada usaha perisikan ISA (Agensi Keselamatan Israel), anggota sel yang bersekutu dengan organisasi pengganas Jihad Islam telah dikesan, termasuk pengganas Alaa Ga’udat Bani Ouda dan Mohammad Qassem Suleiman – operatif bersenjata yang terlibat dalam memajukan serangan tembakan dan letupan dari Tamun,” katanya.
Ketika Israel meningkatkan kempen ketenteraannya di Gaza, keganasan juga meningkat di Tebing Barat, dengan tentera Israel mempergiatkan serbuan dan penangkapan menyasarkan apa yang dikatakan sebagai suspek militan.

















