Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata dalam satu kenyataan pada Rabu askarnya menembak mati seorang lelaki Palestin di utara Tebing Barat, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan itu, kejadian itu berlaku semasa operasi IDF dekat kampung Anza, selatan Jenin, apabila lelaki terbabit dikatakan melemparkan bahan letupan ke arah askar.
Menurutnya, askar bertindak balas dengan tembakan dan membunuh lelaki terbabit, tanpa kemalangan jiwa dalam kalangan pasukan Israel.
Xinhua memetik Agensi berita rasmi Palestin (WAFA) mengenal pasti mangsa sebagai Ahmed Jihad Barahmeh, 19 tahun.
Menurut laporan itu, dia ditembak di belakang dan meninggal dunia akibat kecederaannya selepas dipindahkan ke hospital berdekatan.
Menurut WAFA, lapor Xinhua, kejadian itu berlaku pada waktu pagi semasa serbuan tentera Israel ke atas kampung itu, ketika pelajar dalam perjalanan ke sekolah.
Serbuan itu mengganggu kelas dan membawa kepada konfrontasi antara penduduk dan askar Israel.
Ia menyatakan askar Israel mengambil alih sebuah rumah di tengah perkampungan, mengubahnya menjadi pos tentera dari mana mereka melepaskan peluru hidup ke pelbagai arah, dengan salah satu peluru kena pada Barahmeh.

















