Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mengesahkan pada Selasa, 12 kemudahannya di bandar Gaza secara langsung atau tidak langsung terjejas antara 11 dan 16 September, menurut laporan WAFA.
WAFA melaporkan, menurut UNRWA melalui laman web rasminya, antara kemudahan disasarkan ialah sembilan sekolah dan dua pusat kesihatan, yang melindungi lebih 11,000 orang kehilangan tempat tinggal.
Menurutnya, UNRWA menyatakan aktivitinya di bandar Gaza telah menurun dengan ketara berikutan keadaan keselamatan semakin merosot.
Satu-satunya pusat kesihatan UNRWA di utara Wadi Gaza, yang terletak di kem pelarian Al-Shati, terpaksa menangguhkan operasi pada 13 September kerana serangan dan kerosakan yang lebih teruk dialami semasa serbuan.
Menurut WAFA, agensi itu menyatakan kemusnahan besar-besaran terhadap infrastruktur bandar itu, ditambah dengan gangguan teruk kepada operasi kemanusiaan dan sekatan akses, sangat menghalang talian hayat terakhir yang tinggal untuk orang awam di bandar Gaza.
Pada 16 September, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas dilaporkan membuat kesimpulan bahawa Israel melakukan genosid, dengan menyatakan Israel menghalang agensi bantuan yang dipercayai (termasuk UNRWA) daripada menyampaikan bantuan penting dan menyelamatkan nyawa, dengan tujuan “pemusnahan fizikal rakyat Palestin di Gaza melalui keadaan hidup yang teruk”.
Menurut WAFA, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan melaporkan hampir separuh daripada lebih 246,800 perpindahan yang direkodkan sejak pertengahan Ogos berlaku pada minggu lalu sahaja, dengan peningkatan laporan keluarga pelarian yang tidur di jalanan atau di dalam khemah sementara, bergelut untuk terus hidup.

















