Tiga kakitangan Amiri Diwan, badan kedaulatan dan pejabat pentadbiran Emir Qatar, terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Mesir, berita Xinhua memetik kedutaan Qatar di Mesir pada Ahad.
Dalam catatan di X, pihak kedutaan dilaporkan melahirkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian tiga kakitangan Amiri Diwan dalam kemalangan kereta di bandar Laut Merah Sharm el-Sheikh ketika menjalankan tugas rasmi mereka.
Dua lagi kakitangan yang cedera sedang menerima rawatan perubatan di sebuah hospital tempatan, katanya.
Berita Al-Qahera Mesir berkata, lima warga Qatar dan seorang pemandu Mesir berada di dalam kenderaan itu apabila ia terbabas selepas pemandu hilang kawalan pada stereng.
Sharm el-Sheikh dijadualkan menjadi tuan rumah sidang kemuncak bagi menamatkan perang di Gaza, dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi dan Presiden AS Donald Trump pada Isnin, dengan penyertaan lebih 20 pemimpin.

















