Hujan lebat di Mexico menyebabkan sekurang-kurangnya 21 orang maut dan lebih ramai lagi hilang, lapor Reuters memetik pihak berkuasa pada Jumaat.
Hujan lebat dilaporkan mencetuskan beberapa tanah runtuh, terputus bekalan elektrik di beberapa majlis perbandaran dan menyebabkan sungai pecah tebingnya.
Menurut Reuters, pihak berkuasa perlindungan awam di negeri Hidalgo melaporkan 16 kematian dan berkata sekurang-kurangnya 1,000 rumah dan ratusan sekolah terjejas.
Gabenor negeri Puebla, Alejandro Armenta dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya tiga orang maut dalam tanah runtuh dan lima lagi dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa melaporkan dua lagi kematian di negeri Veracruz.
“Kami sedang berusaha untuk menyokong penduduk, membuka jalan dan memulihkan perkhidmatan elektrik,” Presiden Claudia Sheinbaum dilaporkan sebagai berkata dalam catatan di X.
Dia dilaporkan berkongsi foto petugas kecemasan membawa bekalan ketika mereka mengharungi jalan dinaiki air paras lutut.
Kementerian Pertahanan dilaporkan berkata, ia telah mengerahkan lebih 5,400 anggota untuk membantu memantau, mengosongkan dan membersihkan kawasan terjejas.
Sementara itu, ribut Raymond dan Priscilla telah mencurahkan hujan di semenanjung Baja California dan pesisir pantai Pasifik barat negara itu, menurut Reuters.

















