Seorang terbunuh pada Sabtu dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sebuah jengkaut di daerah Tire, selatan Lubnan, menandakan pencabulan terbaharu perjanjian gencatan senjata antara Hizbullah dan Tel Aviv, lapor Anadolu.
Dron Israel melepaskan dua peluru berpandu ke arah jengkaut di sepanjang laluan Kfardounin-Deir Kifa, lapor Anadolu memetik Agensi Berita Nasional Lubnan NNA.
Gencatan senjata dicapai pada November 2024 berikutan kitaran serangan rentas sempadan selama setahun antara Hizbullah dan Israel yang bermula pada Oktober 2023. Konflik itu meningkat kepada serangan Israel berskala penuh menjelang September 2024, mengakibatkan lebih 4,000 kematian dan sekitar 17,000 kecederaan.
Di bawah syarat gencatan senjata, Israel sepatutnya berundur sepenuhnya dari selatan Lubnan menjelang Januari 2025. Bagaimanapun, ia setakat ini hanya menarik sebahagian tentera dan terus mengekalkan kehadiran tentera di lima pos sempadan.